PENSYARAH PPKM WAKIL NEGARA SUKAN PARA ASEAN 2017

sharizal sea
6 Julai 2017 – Pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd Sharizal Abdul Aziz, 34, terpilih mewakili negara di Sukan Para ASEAN 2017 yang akan berlangsung selepas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Beliau yang akan menyertai tiga acara renang iaitu dalam kuartet 4x50 meter kuak dada berganti-ganti serta 50 meter dan 100 meter gaya bebas individu berharap untuk meraih pingat emas dalam acara-acara tersebut kerana ini merupakan menampilan sulung beliau dalam Sukan Para ASEAN.

Mohd Sharizal berkata, Orang Kelainan Upaya (OKU) seharusnya tidak menjadikan kekurangan yang ada pada diri sebagai alasan untuk tidak bergiat aktif dalam bidang sukan.

Harapannya agar lebih banyak OKU dapat menceburi bidang sukan kerana ia dapat memberikan sumbangan dalam bidang pembangunan sukan dalam masyarakat.

Selain itu, antara pencapaian terbaiknya dalam sukan renang adalah menjadi juara dalam Pertandingan Oceanman Malaysia yang telah berlangsung di Putrajaya pada Mac 2017 baru-baru ini.

Pertandingan ini bukan dikhususkan untuk OKU justeru itu beliau telah membuktikan kekurangan dalam diri tidak menjadi penghalang menjadi juara dalam kejohanan tersebut.

Di samping itu, Mohd Sharizal juga telah memenangi dua emas dan satu gangsa dalam Kejohanan Renang Milo, dan dalam kejohanan SUKMA Sarawak 2016, beliau telah mendapat satu pingat emas dalam acara 50 meter gaya bebas dan satu pingat perak 100 meter gaya bebas.

Beliau juga menyeru kepada semua peminat sukan renang di tanahair agar memberikan sokongan padu kepada kontingen negara dalam Sukan Para ASEAN ke-9 yang bakal diadakan di Kuala Lumpur dari 17 - 23 September 2017. 

Teks: Mohd Musa Adivijaya (pelajar internship MPRC)/Suntingan: Syuhada Abd Aziz
Photo: FB: sharizal aziz