
USM-UNNES SUMMER PROGRAMME
NIBONG TEBAL, PULAU PINANG, 22 Julai 2019 – USM-UNNES Summer Programme 2019 yang dianjurkan oleh Unit Kualiti dan Korporat, Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik di sini baru-baru ini jelas secara tidak langsung berjaya mempertemukan 2 rumpun budaya melalui pendidikan antara pelajar dari dua negara iaitu Malaysia (Universiti Sains Malaysia@USM) dan Indonesia (Universitas Negeri Semarang@UNNES).
Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik (PPKM), Profesor Madya Dr. Jamaluddin Abdullah dalam ucapan beliau menyuarakan harapan agar program seumpama ini dapat diteruskan lagi di masa akan datang memandangkan manfaat yang diperolehi melalui penganjurannya dalam bidang penyelidikan Tenaga Diperbaharui yang diketuai oleh Profesor Dr. Zainal Alimuddin Zainal Alauddin dan ahli kumpulannya.
“Saya gembira melihat pelajar-pelajar yang terlibat berjaya memperolehi ilmu baharu melalui aktiviti pembentangan serta lawatan yang diadakan terutamanya berkaitan tenaga yang boleh diperbaharui dan Tenaga Biomass. Malah, program ini jelas dapat dijadikan medium pembelajaran sepanjang hayat peserta dan apa yang paling penting adalah menyaksikan bagaimana mereka ini gembira dalam mengikuti aktiviti yang telah disediakan selama seminggu ini,” tambah Jamaluddin.
USM-UNNES Summer Program 2019 ini telah diadakan bermula dari 21 hingga 30 Julai 2019 melibatkan penyertaan daripada 5 orang pelajar@buddies dari PPKM, 12 orang pelajar serta 2 orang pensyarah pengiring dari UNNES.
Wakil delegasi UNNES, Dr. Samsudin Anis menyatakan bahawa beliau berbesar hati akan penganjuran program ini yang membuka peluang kepada setiap pelajar yang terlibat untuk menimba ilmu dan pengalaman selama 10 hari berada di USM.
“Aktiviti-aktiviti yang dijalankan juga saling melengkapi dan menghiburkan di mana ianya telah merangkumi antara pendidikan, penyelidikan dan budaya antara Malaysia dan Indonesia,” kata Samsudin.
“Sebagai wakil dari UNNES, saya berharap agar hubungan yang terjalin ini tidak akan terhenti di sini dan hubungan ini akan berpanjangan di mana saya ingin melihat agar pelajar-pelajar ini akan kembali lagi ke Malaysia di masa akan datang,” tambah beliau.
Selain aktiviti penyelidikan, aktiviti yang telah dijalankan sepanjang program adalah lawatan ke kilang Spritzer Mineral Water, di Taiping dan juga ke kilang arang untuk melihat proses pembuatan arang daripada kayu bakau (Charcoal Factory). Pelajar juga dibawa menyusuri sungai Kuala Sepetang, Larut Matang, Perak meninjau hutan paya bakau serta aktiviti-aktiviti harian penduduk di sekitar perairan tersebut.
Selain itu, mereka juga telah dibawa melawat ke UNESCO Heritage Sites, Pulau Pinang, lawatan ke Makmal Bioenergy, Perlawanan Petanque, Tie & Dye, permainan tradisional antara pelajar/staf Malaysia dan UNNES. Pelajar-pelajar juga telah turut terlibat dengan aktiviti Corporate Social Responsibility (CSR) dengan mengadakan projek komuniti mengecat bangunan, kerusi, membersih perkuburan dengan kerjasama kariah Masjid Jamek Pekan Titi Serong, Parit Buntar sebelum mereka pulang ke negara Indonesia.
Turut diadakan adalah sesi ceramah yang disampaikan oleh Profesor Dr. Zainal Alimuddin Zainal Alauddin dan sekumpulan pensyarah mengenai Renewable Energy As a Sustainable Energy Source to Reduce World Energy Crisis and Environmental Pollution in The Future, Bioenergy Source and Utilization, Energy Economics Analysis, Malaysia Energy Mix and Malaysian Energy Policy Focussing on Sustainable Energy dan Cetree Talk: Sustainable Energy and Green Technology.
Teks: Hasnah Hassan / Foto: Arvind