Skip to main content

School of Mechanical Engineering

Connect to Industries

USM Raih Emas dan Anugerah Khas Inovasi di NAFEC2026

Negeri Sembilan, 13 Mei 2026 – National Agricultural and Food Engineering Convention 2026 atau NAFEC2026 yang berlangsung pada 12 hingga 13 Mei 2026 di Klana Resort, Negeri Sembilan, telah menghimpunkan penyelidik, ahli akademik, agensi kerajaan dan pemain industri dalam bidang kejuruteraan pertanian dan makanan.

Konvensyen berprestij anjuran Malaysian Society of Agricultural and Food Engineers (MSAE) dengan kerjasama pelbagai institusi akademik dan agensi industri ini menyaksikan penyertaan seramai 93 pembentang poster penyelidikan daripada seluruh negara. Antara institusi dan agensi yang terlibat termasuk Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Malaysian Palm Oil Board (MPOB), Malaysian Agricultural Research and Development Institute (MARDI), Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan FGV Holdings Berhad (FGV).

Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, Universiti Sains Malaysia turut mencatatkan penyertaan membanggakan dengan menghantar lima penyertaan poster penyelidikan. Pasukan USM terdiri daripada Dr Mohamad Ikhwan Zaini Ridzwan, Prof Madya Dr Ahmad Zhafran Ahmad Mazlan, Dr Inzarulfaisham Abd Rahim, Ir Dr Mohd Syakirin Rusdi dan Ir Ts Dr Muhammad Hafiz Hassan, di bawah pimpinan Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, Prof Madya Dr Abdullah Aziz Saad.

Dalam pertandingan pembentangan poster, Prof Madya Dr Ahmad Zhafran Ahmad Mazlan telah berjaya meraih pingat perak, manakala Ir Ts Dr Muhammad Hafiz Hassan mencipta kejayaan cemerlang apabila memperoleh pingat emas serta Anugerah Khas Inovasi melalui penyelidikan bertajuk “Smart SolDry Home: An IoT-Monitored Enclosed System for Enhanced Cowhide Drying Efficiency”.

WhatsApp_Image_2026-05-14_at_3.38.30_PM.jpegWhatsApp_Image_2026-05-14_at_3.40.59_PM.jpegWhatsApp_Image_2026-05-14_at_3.41.36_PM.jpeg

Kejayaan ini membuktikan komitmen Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik USM dalam menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi yang bukan sahaja menekankan aspek inovasi teknologi, malah turut memberi manfaat kepada komuniti dan industri agromakanan negara. Projek Smart SolDry Home, sebagai contoh, mengetengahkan sistem pengeringan kulit lembu secara tertutup dan dipantau menggunakan IoT bagi meningkatkan kecekapan, kebersihan dan kawalan proses pengeringan.

Penganjuran NAFEC2026 dilihat sebagai platform penting dalam memperkukuh jaringan kerjasama antara institusi akademik, agensi kerajaan dan pihak industri. Selain menjadi medan perkongsian hasil penyelidikan terkini, konvensyen ini turut menyokong pembangunan teknologi yang lebih lestari, cekap dan berdaya saing bagi memperkukuh sektor agromakanan negara.

Diharapkan pencapaian ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak inovasi sosial dan teknologi daripada USM yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat serta dikembangkan secara lebih meluas pada masa hadapan.