
Empat Pensyarah USM Diiktiraf Sebagai Hakim Profesional di MRSM Robochallenge 2025
BENTONG, 29 April 2025 – Seramai empat pensyarah daripada Universiti Sains Malaysia (USM) telah diberi penghormatan untuk berkhidmat sebagai panel hakim dalam pertandingan MRSM Robochallenge 2025 yang berlangsung di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Bentong, Pahang, dari 25 hingga 27 April lalu.
Mereka terdiri daripada Prof. Madya Dr. Ahmad Zhafran Ahmad Mazlan, Ir. Dr. Muhammad Iftishah Ramdan, Dr. Ahmad Syazwan Ahmad Kamal – kesemuanya dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik – serta Ir. Dr. Ahmad Faizul Hawary dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa.
Penglibatan pensyarah-pensyarah USM ini bukan sahaja mencerminkan kepakaran akademik dalam bidang kejuruteraan mekanik dan robotik, malah turut memperkukuh jaringan strategik antara institusi pengajian tinggi dan sekolah menengah berprestasi tinggi seperti MRSM.
Secara keseluruhan, seramai 17 pensyarah daripada pelbagai institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) seluruh negara telah dilantik sebagai hakim bagi edisi pertandingan kali ini.
Menurut penganjur, kehadiran para akademik sebagai panel penilai telah menyumbang kepada kelancaran proses penjurian yang telus dan profesional, di samping memberikan motivasi kepada para pelajar untuk terus meneroka bidang kejuruteraan dan inovasi teknologi.
Majlis penutupan turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada para hakim oleh Pengetua MRSM Bentong, diikuti sesi bergambar bersama wakil-wakil MARA sebagai simbol penghargaan atas sumbangan kepakaran mereka.