
USM SERTAI PROGRAM JOM MASUK U 2025 ZON TIMUR II DI TERENGGANU
USM SERTAI PROGRAM JOM MASUK U 2025 ZON TIMUR II DI TERENGGANU
Kuala Terengganu, 20 April 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) telah menyertai Program Jom Masuk U 2025 Zon Timur II yang berlangsung pada 19 dan 20 April 2025 bertempat di Dewan Al-Muktafi Billah Shah (DABS), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Gong Badak, Terengganu.
Dalam program yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ini, USM telah membuka ruang pameran yang dikendalikan oleh wakil dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, iaitu Ir. Ts. Dr. Muhammad Hafiz Hassan. Kehadiran USM telah menarik perhatian ramai pengunjung, khususnya pelajar lepasan SPM dan STPM yang hadir bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan peluang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi.
Sepanjang program berlangsung, para pelajar dan ibu bapa telah diberikan penerangan terperinci berkaitan proses kemasukan ke USM, pilihan program pengajian dalam bidang kejuruteraan, suasana kehidupan di kampus serta kelebihan yang ditawarkan oleh USM sebagai universiti berstatus APEX.
Sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan pelbagai soalan diajukan oleh para pelajar dan ibu bapa yang menunjukkan minat tinggi terhadap program yang ditawarkan. Penyertaan aktif USM dalam program ini bukan sahaja memberi pendedahan yang meluas kepada pelajar tentang laluan pendidikan tinggi, malah turut memperkukuh kehadiran dan nama baik USM dalam kalangan komuniti Zon Timur.