Membina Masa Depan Industri Semikonduktor: Pendedahan Industri bagi Kursus EPE441 Micro and Nano Engineering
Baru-baru ini, seramai 17 orang pelajar daripada kursus EPE441: Micro and Nano Engineering, Universiti Sains Malaysia (USM) telah menyertai Kursus Jangka Pendek (KJP) IC Fabrication Process bertempat di Bahagian Semiconductor Technology Academy (STAc), ADTEC JTM Kampus Taiping pada 13 – 14 Jun 2026.

Kursus intensif selama dua hari ini telah memberikan pendedahan komprehensif dari sudut teori dan amali berkaitan proses fabrikasi litar bersepadu (Integrated Circuit - IC). Para pelajar berpeluang mendalami asas teknologi semikonduktor serta proses utama yang dipraktikkan dalam industri pembuatan mikroelektronik sebenar.
Sepanjang program, para pelajar telah dibimbing oleh tenaga pengajar pakar daripada STAc, iaitu Encik Omar dan Encik Nazmi, selain turut mendapat tunjuk ajar serta pemantauan berterusan daripada pensyarah kursus USM, Ir. Dr. Abdul Haadi bin Abdul Manap dan Ir. Dr. Mohd. Syakirin bin Rusdi.


Aktiviti amali di makmal pemprosesan mikroelektronik telah memberikan pengalaman berharga kepada para pelajar untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di dalam bilik kuliah ke tahap industri.
Diharapkan pendedahan ini dapat memperkukuhkan kompetensi teknikal para pelajar serta menjadi nilai tambah yang signifikan sebagai persediaan mereka menceburi kerjaya dalam bidang berteknologi tinggi pada masa hadapan.
Tahniah kepada semua pelajar atas komitmen yang ditunjukkan!

