Komersial Produk - Mesin Penyembelihan Ternakan Korban
Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik Cipta Kejayaan: Mesin Penyembelihan Ternakan Korban Kini Dikomersialkan
PULAU PINANG, 17 Januari – Pasukan pereka dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, Universiti Sains Malaysia (USM), sekali lagi mencipta sejarah dengan pencapaian membanggakan. Pasukan yang diketuai oleh Prof Madya Dr. Mohamad Yusof bin Idroas, bersama Prof Madya Dr. Jamaluddin bin Abdullah, Prof Madya Dr. Ahmad Zhafran bin Ahmad Mazlan, dan En Muhamad Azman bin Miskam, berjaya mengkomersialkan produk inovasi terbaru mereka, Mesin Penyembelihan Ternakan Korban, kepada pihak industri.
Mesin penyembelihan ini direka untuk memperbaiki proses penahanan semasa penyembelihan ternakan, khususnya lembu, dengan memberi penekanan terhadap kebajikan haiwan dan keselamatan pekerja. Inovasi ini menggunakan mekanisme rel panduan berputar dan ratchet untuk memastikan kawalan yang lebih tepat ke atas kedudukan dan dinamik putaran haiwan berbentuk tidak teratur. Hasilnya, mesin ini bukan sahaja meningkatkan efisiensi operasi tetapi turut mematuhi standard kebajikan haiwan yang semakin ketat.
Pusat Inovasi & Perundingan USM (CIC) turut mengucapkan penghargaan atas kejayaan ini, menegaskan bahawa pencapaian tersebut akan menyumbang kepada kecemerlangan universiti dan negara secara keseluruhan.
Semoga pencapaian ini menjadi pemangkin kepada kejayaan lebih besar pada masa hadapan dan terus mengangkat nama USM di persada global. Tahniah kepada pasukan pereka atas dedikasi dan usaha mereka dalam menjayakan projek ini.