
Pendakian Gunung Kinabalu: Simbol Ketahanan dan Semangat Mahasiswa Kejuruteraan USM
Dua orang pelajar Tahun 4 daripada Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanikal, Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia telah berjaya menawan puncak tertinggi di Malaysia, Gunung Kinabalu dalam satu ekspedisi yang penuh dengan ujian ketahanan fizikal, mental serta semangat juang yang tinggi.
Mahasiswa tersebut ialah Mohamad Afif Zahin bin Azmi (163368) dan Muhamad Amin bin Mohamad Zuki (160379). Penyertaan mereka adalah menerusi program anjuran Hiking and Camping Club USM (H.A.C.U.S) bersama pelajar daripada Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia.

Ekspedisi selama empat hari tiga malam itu dimulakan dengan persinggahan di Kundasang sebelum pendakian rasmi bermula pada hari kedua. Pendakian dimulakan sekitar jam 8 pagi dan sejak awal perjalanan lagi mereka telah diuji dengan tahap ketahanan fizikal yang tinggi apabila memulakan pendakian tanpa mengambil sarapan pagi.
Sepanjang perjalanan menuju ke Panalaban, pelbagai rintangan terpaksa ditempuhi termasuk kesesakan laluan pendaki, keletihan otot serta kesukaran bernafas akibat faktor altitud tinggi dan kandungan oksigen yang semakin berkurangan. Situasi tersebut menjadi lebih mencabar memandangkan ia merupakan pengalaman pertama mereka mendaki di kawasan altitud tinggi.
Walaupun dimaklumkan bahawa kebanyakan pendaki lazimnya tiba lewat petang, kedua-dua mahasiswa ini berjaya tiba di hostel penginapan pada ketinggian sekitar 3,200 meter dari paras laut seawal jam 2 petang. Namun begitu, mereka hanya sempat menikmati hidangan pertama sekitar jam 5 petang sebelum berehat bagi mempersiapkan diri untuk pendakian ke puncak utama.
Sekitar jam 2 pagi, pendakian diteruskan menuju ke puncak Low's Peak. Laluan pada peringkat ini menjadi lebih sukar dengan permukaan berbatu, cerun curam serta penggunaan tali dan tangga di beberapa kawasan tertentu. Dalam keadaan cuaca yang sejuk dan udara yang semakin nipis, mereka tetap meneruskan perjalanan dengan penuh tekad dan semangat yang tinggi.
Hasil daripada ketabahan dan usaha berterusan, mereka akhirnya berjaya tiba di puncak sekitar jam 5.30 pagi sebelum matahari terbit. Kejayaan menyaksikan panorama indah dari puncak tertinggi negara menjadi simbol kepada segala pengorbanan, kesabaran dan keberanian yang telah mereka tempuhi sepanjang ekspedisi tersebut.

Selepas menikmati keindahan pemandangan dan merakam kenangan di puncak, mereka mula turun sekitar jam 8 pagi sebelum tiba semula di hostel untuk proses daftar keluar pada jam 10 pagi dan seterusnya meneruskan perjalanan turun ke kaki gunung.
Kejayaan ini membuktikan bahawa mahasiswa bukan sahaja mampu cemerlang dalam bidang akademik, malah turut memiliki daya tahan fizikal, kekuatan mental dan semangat kepimpinan yang tinggi dalam menghadapi situasi di luar kebiasaan. Pendakian ini turut memperlihatkan nilai HEBAT yang diterapkan dalam diri mahasiswa USM seperti keberanian, disiplin, ketahanan diri dan semangat kerjasama dalam mencapai sesuatu matlamat.
Selain itu, ekspedisi ini juga selari dengan aspirasi Sustainable Development Goals (SDG), khususnya SDG 3: Good Health and Well-Being melalui penglibatan dalam aktiviti rekreasi sihat dan pembangunan kesejahteraan diri, serta SDG 4: Quality Education yang menekankan pembangunan kemahiran insaniah melalui pengalaman pembelajaran di luar bilik kuliah.
Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada mahasiswa lain untuk terus berani mencabar diri, membina ketahanan mental dan fizikal serta membuktikan bahawa mahasiswa kejuruteraan juga mampu menyerlah dalam aktiviti lasak dan pembangunan sahsiah diri.
Penulis : Danish Aiman Bin Norizak, MPP Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik
